Pages

Tuesday, October 23, 2012

Kebaikan bulan Zulhijjah

Bulan Zulhijjah juga merupakan bulan terserlahnya simbol kekuatan dan perpaduan ummat Islam iaitu melalui ibadah Haji dan Wukuf di padang Arafah. Bayangkan berjuta-juta umat Islam tidak kira bangsa, warna kulit, bahasa,dan kedudukan bersama-sama mengerjakan ketaatan kepada-Nya.

Selain itu,kita disunnatkan berpuasa pada 9 hari pertama termasuk pada hari ‘Arafah ( kecuali bagi orang wukuf dalam mengerjakan haji ).Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Puasa pada hari ‘Arafah,saya mengharap agar Allah akan menghapuskan ( dosa ) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang" ( Muslim ).

Kita juga disunnatkan bertakbir ( Allahu Akbar ) dan berzikir padanya, Firman Allah Ta'ala yang bermaksud : "Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum"( hajj : 28 ), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah, Oleh kerana itu para ulama' menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu Umar r.a yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah,di antaranya : " Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil ( La Ilaha Illah Allah ),takbir ( Allahu Akbar ) dan Tahmid ( Alhamdulillah )".

Perkara Sunnat lain adalah :

1. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa.Semoga dengan amalan baik ini dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah.

2. Memperbanyakkan amalan soleh ( baik ) terutama amalan-amalan sunat seperti solat sunat, bersedekah, membaca Al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.

3. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu sama ada pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan solat fardhu lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji', takbir bermula dari waktu Subuh hari ‘Arafah ( 9 Zulhijjah ) dan bagi yang menunaikannya,takbir bermula pada waktu Zohor Hari Raya Haji ( 10 Zulhijjah ), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13)Zulhijjah.

4. Disyariatkan melakukan korban ( menyembelih haiwan ternakan ) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq ( 11,12 dan 13 Zulhijjah ). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim a.s setelah Allah Ta'ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail a.s yang kemudian ditebus atau digantikan dengan seekor kibas untuk disembelih.

5. Menunaikan solat hari raya secara berjamaah,mendengar khutbah serta pengajaran daripadanya.

6. 29 Zulhijjah : membaca doa akhir tahun setelah selesai solat Asar hingga sebelum masuk waktu maghrib..

Berkata sebahagian ulama' "Sesiapa yang memuliakan hari-hari yang berlalu dalam bulan Zulhijjah, nescaya ia akan dianugerahi oleh Allah dengan 10 macam kemuliaan iaitu :

1. Berkat pada umurnya

2. Bertambah hartanya

3. Kehidupan rumahtangganya akan terjamin

4. Membersihkan dirinya daripada dosa dan kesalahan yang telah lalu.

5. Amal ibadat serta kebaikannya akan berganda

6. Allah akan memudahkan di saat kematiannya

7. Allah akan menerangi kuburnya selama berada di alam barzakh

8. Allah akan memberatkan timbangan amal baiknya semasa di padang mahsyar

9. Selamat daripada jatuh kedudukan di dunia

10. Martabatnya akan dinaikkan di sisi Allah

Maka selaku umat Islam hendaklah kita memperbetulkan kefahaman kita bahawa bulan Zulhijjah bukanlah sekadar bulan haji sahaja yang di sambut ala kadar sebagaimana biasa bahkan bulan Zulhijjah sebenarnya adalah bulan yang penuh keberkatan.

 Disediakan oleh:
Bahagian Dakwah, JAIS

Ayat-Ayat untuk Anak-Anak Nakal


A. Baca kat air minum dan kemudian bagi anak minum -

1) Baca                                             (786 kali)

بسم الله الرحمن الرحيم

2) Baca Ayat 71 Surah Yasin           (71 Kali)




وَذَلَّلْنَاهَا لَهُمْ فَمِنْهَا رَكُوبُهُمْ وَمِنْهَا يَأْكُلُون

3) Surah Thoha 1 - 6                         (1000 Kali)


Maksud Ayat:


"To Ha (Allah yang mengetahui maksudnya). Tiada Kami (Allah) turunkan kepadamu al-Quran ini supaya engkau celaka (menyusahkan engkau)! Melainkan untuk menjadi peringatan bagi orang yang takut. (Al-Quran) yang diturunkan daripada Tuhan, yang menciptakan bumi dan beberapa langit yang tinggi. Tuhan yang Pengasih, di atas singgahsana Dia bersemayam (berkuasa). Dia mempunyai apa yang ada di langit, dan di bumi, serta di antara keduanya dan apa yang ada di bawah tanah."
 
B. Hembus di ubun kepala anak semasa anak tidur

1. Surah Thoha 1 -6          (3 kali)


Sumber : Ustaz Ismail Kamus

Wednesday, October 17, 2012

Resepi Bahulu Ros


 
Bahan-bahan
4 biji telur
1 1/2 cawan gula pasir(boleh kurangkan jika suka)
1 3/4 cawan tepung gandum
1 camca esen ros
sedikit pewarna merah
Bijan dan Ceri (Hiasan)
sedikit minyak masak(di sapu pada acuan)

Cara-cara
1. Pukul telur bersama gula hingga kembang.
2. Masukkan esen ros dan pewarna merah.
3. Masukkan tepung gandum, gaul sehingga sebati.4. Masukkan adunan kedalam acuan yang telah dilenser minyak.
4. Taburkan bijan dan Ceri yang telah dipotong kecil
5. Kemudian bakar sehingga masak.

Mendidik Anak Cara Rasullullah saw



Untuk panduan kita bersama dalam mendidik anak-anak - www.excelqhalif.com/

Tuesday, October 16, 2012

Tujuh Amal Soleh Yang dibawa ke Alam Barzakh


1. Ilmu yang dia ajarkan dan sebarkan.

2. Anak soleh yang ia tinggalkan.

3. Mashaf al-Quran yang dia wariskan.

4. Masjid yang dia bangunkan.

5. Rumah tempat singah musafir yang dia dirikan

6. Sungai (saliran) yang dia alirkan.

7. Sedekah yang dia keluarkan di kala sihat dan masih hidup.

Thursday, October 11, 2012

Tazkirah - Solat Yang Tidak Diterima Allah

makna-bacaan-solat

Dalam hayat kita, berapa kali solat yang kita kerjakan dengan penuh khusyuk? Paling kurang kita menghadirkan hati dan segala anggota rukun untuk mencapai kekusyukan. Tapi yang paling kita takuti adalah adakah solat yang kita buat selama bertahun-tahun itu diterima oleh Allah atau tidak.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

"Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu petunjuk dan jalan selamat dan barang siapa yang tidak memelihara solat maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya dan juga tidak menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya".


Rasulullah saw juga telah bersabda yang bermaksud: 10 orang yang solatnya tidak diterima oleh Allah SWT ialah:

1. Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.

2. Orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.

3. Orang lelaki yang minum arak tanpa meninggalkannya (taubat).

4. Orang lelaki yang menjadi imam padahal orang yang menjadi makmum membencinya.

5. Anak lelaki yang melarikan diri dari rumah tanpa izin kedua ibu bapanya.

6. Orang perempuan yang suaminya marah/menegur kepadanya lalu si isteri memberontak.

7. Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim serta menganiaya.

8. Orang perempuan yang tidak menutup aurat.

9. Orang yang suka makan riba.

10. Orang yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.

Sabda Rasullullah saw yang bermaksud : " Barang siapa yang solatnya tidak dapat menahan daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambah kemungkaran Allah SWT dan jauh dari Allah SWT."

Sama-sama muhasabah diri. Mana perbuatan kita yang cacat itu diperbetulkan. Semoga amalan ibadah kita di terima oleh Allah. SELAMAT BERAMAL.
Sumber: ppajakim.

Wednesday, October 10, 2012

Cara Berbakti Kepada Ibu Bapa yang Telah Meninggal Dunia



Seseorang anak wajib mentaati dan berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya, tetapi adakah ia memadai atau terbatas ketika mereka masih hidup sahaja? Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menyentuh atau memerintahkan agar seseorang anak berbakti atau membuat kebajikan terhadap kedua-dua ibu bapanya, dan ia tidak terbatas ketika mereka masih hidup. Terdapat beberapa amalan kebajikan yang boleh disumbangkan oleh seseorang anak kepada
kedua-dua ibu bapanya setelah meninggal dunia.


1. Menjelaskan hutang.

Islam amat menitikberatkan persoalan memberi, menerima dan membayar semula hutang kerana ia melibatkan hubungan sesama manusia ketika hidup di dunia hingga ke akhirat kelak. Seseorang yang berhutang wajib menjelaskan segala hutangnya, dan sekiranya ia meninggal dunia sebelum sempat menyelesaikan hutangnya maka tanggungjawab untuk membayar hutang tersebut adalah ke atas warisnya. Semua hutang sama ada melibatkan orang perseorangan, pihak bank dan sebagainya hendaklah dibayar tanpa mengira jumlahnya yang sedikit ataupun banyak.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Semua dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya. (Riwayat Bukhari, Tirmizi, Nasai dan
Ibnu Majah).
Abu Said r.a. berkata: Telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. jenazah untuk disembahyangkan, lalu baginda bertanya: Adakah mayat ini masih
menanggung hutang? Sahabat menjawab: ``Ya, Rasulullah''. Baginda bertanya: Adakah ia ada meninggalkan harta kekayaan untuk membayarnya? Jawab sahabat: ``Tidak.'' Lalu baginda bersabda: Sembahyanglah kamu pada kawanmu itu. Baginda sendiri tidak turut serta menyembahyangkannya. Kemudian Ali bin Abi Talib berkata: ``Wahai Rasulullah, biarlah saya yang membayar hutangnya.'' Sesudah
itu baginda segera maju untukmenyembahyangkan jenazah sambil berkata
kepada Ali: Semoga Allah membebaskan tanggunganmu (dirimu) daripada api
neraka, sebagaimana kamu telah membebaskan tanggungan saudaramu yang Muslim itu. Tidaklah seorang Muslim yang membayar hutang saudaranya melainkan Allah akan membebaskan tanggungannya (dirinya) daripada api neraka pada hari kiamat
kelak.
Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Barangsiapa yang berhutang, kemudian ia berniat tidak akan membayar hutangnya, lalu ia mati, maka Allah akan bertanya pada hari kiamat: Apakah kamu mengira bahawa Aku tidak akan menuntut hak hamba-Ku? Maka diambil amal kebajikan orang itu dan diberikan kepada orang yang memberi hutang dan jika orang yang berhutang tidak mempunyai amal kebajikan, maka segala dosa orang yang memberi hutang itu, diberikan kepada orang yang berhutang.



2. Membayarkan zakat.

Seseorang yang meninggal dunia dan belum membayar zakat, maka wajib bagi warisnya menjelaskan zakat tersebut kerana zakat yang belum dibayar itu adalah hutang seseorang hamba kepada Allah s.w.t. Kewajipan membayarnya pula didahulukan sebelum menjelaskan hutang yang lain, memenuhi wasiat dan pembahagian harta pusaka.


Daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah s.a.w. dan bertanya: ``Ibu saya telah meninggal dunia dan
berhutang puasa selama satu bulan. Apakah saya perlu membayarkannya?''
Sabda Rasulullah s.a.w.: Sekiranya ibu kamu mempunyai hutang, adakah kamu
akan membayarkannya? Jawab lelaki tersebut: ``Ya.'' Baginda menjawab:
Hutang kepada Allah adalah lebih utama dibayar. (Riwayat Bukhari dan
Muslim)



3. Mengqadakan puasa.

Waris atau anak-anak disunatkan supaya mengqada puasa ibu bapanya
yang telah meninggal dunia, ia termasuk puasa Ramadan, puasa nazar dan puasa
kafarah.


Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
Barangsiapa yang mati sedangkan ia ada kewajipan berpuasa, maka walinya berpuasa
untuknya. (Muttafaq Alaih) Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya, bahawasanya
seorang wanita berkata: Ya Rasulullah, ibu saya telah meninggal dunia
sedangkan ia ada puasa nazar, adakah saya boleh berpuasa untuknya? Rasulullah
s.a.w. bersabda: Bagaimana pendapatmu sekiranya ibu kamu mempunyai hutang
dan kamu membayarkannya, tidakkah itu menunaikan hutangnya? Wanita itu
menjawab:
``Ya.'' Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: Berpuasalah untuk ibumu.
(Riwayat
Bukhari dan Muslim)


4. Membayarkan fidyah puasa.

Fidyah puasa itu ialah memberi sedekah dalam kadar satu cupak makanan asasi penduduk sesebuah negara sama ada daripada beras, gandum atau seumpamanya. Di Selangor kadar satu cupak itu ialah 900 gram bersamaan RM1.10.
Mereka yang diwajibkan membayar fidyah puasa ialah:

l.Orang sakit yang tidak ada harapan akan sembuh penyakitnya.

2. Orang tua yang tidak upaya berpuasa atau menemui kesukaran untuk
berpuasa dengan sebab tuanya.

Bagi mereka yang tersebut di atas yang tidak berupaya untuk berpuasa, maka diwajibkan bagi mereka memberi makan seorang miskin untuk setiap hari yang ditinggalkan puasa dengan kadar satu cupak atau nilai yang bersamaan
dengannya.

Firman Allah s.w.t. Dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi
makan orang miskin. (Al-Baqarah : 184)


5. Mendoakan ibu bapa.

Doa anak yang soleh merupakan khazanah ibu bapa yang amat berharga.


Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka putuslah segala amalannya melainkan tiga perkara; sedekah jariah atau ilmu yang bermanfaat atau anak yang soleh dan berdoa untuknya.


6. Menghubungkan tali silaturahim.

Menghubungkan tali silaturahim adalah termasuk dalam perkara yang amat penting dan ia merupakan salah satu tuntutan syariat yang harus mendapat perhatian utama daripada kaum Muslimin. Mengeratkan hubungan silaturahim dan berbuat baik dengan kaum kerabat dan sahabat ibu bapa adalah sebahagian daripada cara berbuat amal untuk kedua-duanya yang telah meninggal dunia.
Abdullah bin Umar r.a. meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. bersabda:
Sesungguhnya sebaik-baik kebajikan adalah seseorang itu menghubungkan silaturahim dengan orang yang dikasihi bapanya. (Riwayat Muslim) Di
dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Malik bin Rabi`ah as-Sa`idi, kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w., datanglah seorang lelaki daripada Bani Salamah, ia bertanya kepada Rasulullah, ``Ya Rasulullah, masih adakah kebaikan (kewajipan) yang harus saya lakukan untuk berbakti kepada kedua-dua ibu bapaku setelah kedua-duanya meninggal dunia.'' Baginda menjawab: Ya ada, iaitu sembahyang atas(jenazah) kedua-duanya (maksudnya mendoakan kedua-duanya) dan memohon keampunan bagi kedua-duanya, memenuhi segala pesanannya (menyempurnakan janji mereka) setelah mereka meninggal dunia dan menghubungkan ikatan silaturahim yang tidak sampai serta
menghormati para sahabat mereka. (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

7. Menziarahi kubur.

Menziarahi kubur ibu bapa adalah sunat muakad dan besar ganjaran pahalanya. Adalah lebih baik jika di-ziarahi pada setiap hari Jumaat dan
dibacakan surah Yasin untuknya. Kelebihan mengenang ibu bapa dengan berdoa dan
menziarahi kuburnya membawa kebajikan yang bukan sahaja kepada anak- anak yang soleh tetapi juga kepada anak yang derhaka.


Dalam sebuah hadis diterangkan: Anak derhaka yang kematian kedua-dua ibu bapanya kemudian ia (menyesal dan bertaubat) dan sentiasa berdoa untuk kedua-duanya, nescaya ia diampuni Allah dan dianggap sebagai anak yang taat.


8. Menyelesaikan harta pusaka mengikut faraid.

Pembahagian harta pusaka hendaklah dibuat setelah dijelaskan segala hutang si mati sama ada hutang dengan Allah mahupun sesama manusia, wasiat dan segala perbelanjaan pengurusan jenazah.
Firman Allah s.w.t. Allah telah memerintahkan pembahagian harta
pusaka terhadap anak-anak kamu iaitu bahagian seorang lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan. (An-Nisa :11) 9. Memohon keampunan bagi dosanya.


Perkara yang paling mudah dan dapat dikerjakan oleh semua orang pada bila-bila masa ialah berdoa serta memohon keampunan bagi dosa kedua- dua ibu bapanya sama ada yang masih hidup lebih-lebih lagi yang telah meninggal dunia, seperti mana doa yang dianjurkan di dalam al-Quran Wahai Tuhan kami, berilah keampunan kepadaku dan kepada kedua-dua ibu bapaku dan juga
kepada semua orang mukmin pada hari terjadinya hisab. (Ibrahim : 41)
Firman Allah s.w.t. Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua- duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka), ``Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya dengan memelihara dan mendidikku semasa kecil. (Al-Isra: 24)

10. Membuatkan haji untuknya.

Anak-anak digalakkan untuk membuatkan haji bagi kedua-dua ibu bapanya yang telah meninggal dunia yang belum sempat menunaikan haji. Ia boleh dilakukan dengan membuat sendiri (bagi yang telah menunaikan haji untuk diri sendiri) atau dengan cara mengupahkannya kepada orang lain. Walau bagaimanapun sekiranya kedua-dua ibu bapa telah bernazar untuk menunaikan haji tetapi tidak berkesempatan kerana telah meninggal dunia, maka wajib bagi waris atau anak melakukan haji untuknya dengan segala perbelanjaan adalah daripada harta peninggalan si mati.
Diterima daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa seorang wanita dari Juhainah datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu bertanya: ``Ibuku telah bernazar untuk
menunaikan haji tetapi ia meninggal dunia sebelum menunaikannya. Apakah saya akan melakukan di atas namanya?'' Jawab Baginda: Ya, berhajilah menggantikannya. Bagaimana pendapat kamu, jika berhutang apakah kamu akan membayarkannya? Oleh itu, bayarlah hutang kepada Allah kerana
hutang kepada Allah adalah lebih utama dibayar.

Sebagai kesimpulannya, marilah sama-sama kita menghayati semula peranan seorang anak kepada ibu bapa. Tanpa mereka siapalah kita dan adakah kita boleh berada dalam keadaan dan kedudukan yang kita miliki pada hari ini? Sedarlah bahawa tanpa keredhaan mereka, kita juga tidak akan mendapat keredhaan Allah s.w.t. Semoga kita akan tergolong dalam golongan yang
diredhai Allah.


Sumber:NURHELMI IKHSAN, Penolong Pegawai Hal Ehwal
Islam, Jabatan
Mufti Selangor
.

Tanggungjawab Anak Terhadap Ibu Bapa

1. Apabila keduanya memanggil maka anak harus segera menyahut dan hadir kepadanya.

2. Anak dilarang memanggil kedua ibu bapanya dengan penggilan nama.

3. Bercakaplah dengan keduanya dengan gelaran yang mulia.

4. Anak mestilah berbicara dengan lemah lembut terhadap keduanya, jangan sesekali mengkasarinya atau berlaku biadap.

5. Sentiasa merendahkan suara bila bercakap dengan keduanya.

6. Bila keduanya menyuruh untuk melakukan sesuatu maka anak harus melaksanakannya dengan penuh taat selama suruhan itu tidak berupa maksiat. Jika suruhan itu berupa maksiat sekalipun maka tolaklah dengan penuh rasa hormat dan meminta maaf.

7. Bila berjalan bersama mereka maka anak harus berada di belakangnya.

8. Bila keduanya memerlukan layanan maka anak harus melayaninya dengan penuh rasa hormat walaupun kadang kala ibu bapa tidak berlaku adil diantara anak-anaknya.

9. Sentiasa merendah diri bila berada di hadapan keduanya dan cuba untuk menggembirakan hati mereka.

10. Bila anda hendak keluar rumah atau ke mana sahaja maka beritahulah keduanya dan mintalah izin.

11. Jangan memasuki bilik tidur kedua orang tua kita sebelum meminta izin terlebih dahulu.

12. Bila keduanya memarahi ataupun memukul kita maka terimalah ini sebagai satu hukuman dan jangan menunjukan sifat kebencian atau marah kita kepada keduanya.

13. Bila ibu bapa memerlukan kepada pakaian maka anak harus memnyediakan sekadar kemampuan.

14. Bila ibu bapa memerlukan kepada makanan maka anak harus memberinya sekadar kemampuan.

15. Setiap kali anda membuatkan mereka merasa sedih atau dukacita maka segeralah menyesal diatas keterlanjuran tersebut serta segera memohon kemaafan.

16. Jika anda sedang solat sunat tiba-tiba keduanya memanggil maka berhentilah dari solat dan sahutlah seruan mereka walaupun seruan itu tidak ada perkara yang penting.

17. Anak mestilah rela terhadap keduanya sebagaimana ia merasa rela terhadap dirinya sendiri.

18. Jangan terlalu melebihkan isteri/suami dari kedua orang tua.

19. Setiap kali berdoa anak mestilah mendoakan akan keampunan Allah terhadap kedua ibu bapanya dan berusahalah dengan amalan yang soleh mengikut kemampuan sendiri.

20. Sekiranya keduanya telah meninggal dunia maka tinggikanlah martabat dan kemuliaan mereka, bayarlah hutang piutang yang masih ada dan berbuat baik serta hormatilah terhadap sahabat-sahabat keduanya.

21. Jika mereka ada meninggalkan wasiat maka tunaikanlah wasiat itu mengikut kemampuan anda

Monday, October 8, 2012

Keberkatan Rezeki Menjamin Ketenangan

SETIAP kali sebelum menjamah makanan, kita pasti tidak terlepas membaca doa yang berbunyi "Ya Allah, berkatilah rezeki kami dengan apa yang Engkau berikan kepada kami dan jauhi kami dari seksaan api neraka. Bermakna, kita memang mengharapkan makanan dan apa saja rezeki yang kita peroleh diberkati Allah.


Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang pun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperoleh salah satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) yang serupa." (HR at-Tabrani).


Yang jelas, pengharapan kita untuk mendapatkan rezeki yang berkat menjadikan kehidupan kita lebih tenang, cukup dan sentiasa dalam naungan Allah. Rasulullah bersabda: "Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang dan makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang." (HR Bukhari dan Muslim).


Justeru, dalam isu keberkatan, setiap Muslim perlu mempunyai sifat qanaah iaitu reda dan menerima apa saja tanpa menuntut perkara yang bukan keperluannya. Lawan kepada sifat qanaah adalah tamak. Ia menjadikan seseorang itu sentiasa cemburu dan dengki dengan rezeki orang lain. Maka, ucapan 'Alhamdulillah' perlu dilafazkan bagi menanam sifat qanaah supaya kita sentiasa menerima perkara yang baik.


Untuk menambah keberkatan kita perlu membiasakan diri dengan amalan bersedekah. Sifat pemurah akan memberikan ketenangan kepada diri selain turut disayangi orang lain. Kita perlu ingat, harta yang kita miliki selama ini terdapat juga hak orang lain yang wajib ditunaikan.
Kekayaan bukan terletak pada hebatnya harta seperti kereta mewah, rumah, tanah serta perniagaan yang dijalankan tetapi kekayaan iman yang mencerminkan kesederhanaan hidup.


Dari Abu Hurairah berkata Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Allah berfirman kepada malaikat pembahagi (pengedar) rezeki kepada bani Adam: Mana satu hamba-Ku yang kamu temui menuju harapannya kepada Aku semata- maka jaminkanlah rezekinya di langit dan bumi. Dan mana satu hamba-Ku yang kamu temui sedang mencari rezekinya, sesungguhnya dia sedang menuntut keadilan, maka lorongkanlah jalan-jalannya tetapi jika dia menuntut selain
dari itu, maka biarkanlah antara mereka dengan apa yang mereka tuntut itu, kelak mereka tidak akan memperoleh lebih daripada apa yang Aku tentukan untuk mereka itu." (HR Abu Naim).


Apabila rezeki tiada nilai keberkatan, kita sentiasa dalam suasana tidak mencukupi. Ada satu, mahu yang lain dan begitulah seterusnya namun tetap merasa kekurangan. Berkat bermaksud
peningkatan serta penyuburan iaitu yang sedikit kita merasa seolah-olah banyak dan mencukupi.


Allah Maha Berkuasa untuk memberi, menarik, meluas serta menyempitkan rezeki sesiapa sahaja. Memang banyak hikmah rezeki yang berkat, antaranya menjadi punca termakbulnya doa. Ingatlah, jika Allah cepat memakbulkan sesuatu doa hamba-Nya itu, bermakna Allah amat menyayanginya. Jika Allah lambat memakbulkan doa, maka itu adalah satu ujian buat hamba-Nya manakala jika Allah tidak memakbulkan doa seorang hamba-Nya maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untuk kita.


Jadi, kita perlu sentiasa mencari keberkatan dalam hidup seharian kerana ia penting bagi menjamin kesejahteraan. Apabila mendapat keberkatan, kemurahan rezeki itu secara langsung dapat dinikmati.


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Barang siapa yang ingin murah atau lapang rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah ia menghubungkan atau menyambungkan silaturahim (sesama manusia) (Riwayat Bukhari).


Kita jangan mendidik diri dengan sifat kedekut kerana ia menyempitkan rezeki. Rezeki amat berkait rapat dengan peribadi seseorang. Ia akan tertahan apabila mereka bergelumang dengan dosa yang dilakukan seharian tanpa bertaubat.


Firman Allah yang bermaksud: "Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu." (Al-Baqarah ayat 168).


Bagaimana kehidupan kita jika sentiasa bergelumang dengan pendapatan haram? Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya". (HR At-Tarmizi).


Seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis; apabila Said Bin Abi Waqas meminta agar Rasulullah mendoakannya supaya Allah memperkenankan doanya, maka Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Perelokan sumber rezekimu, pasti doamu dimakbulkan." Kadang kala kita hairan kerana umat Islam takut untuk memakan daging babi kerana ia adalah haram tetapi mereka selamba dan acuh tidak acuh mengambil pendapatan haram.


Penceramah dan perunding motivasi, Mohd Zawawi Yusoh berkata, berkat berkaitan dengan langkah kita ke syurga ataupun neraka. "Setiap pekerjaan yang dilakukan janganlah sehingga mengabaikan ibadat asas seperti solat kerana ia menghilangkan keberkatan rezeki.


"Jika solat terabai, berat untuk sedekah, bersikap acuh tak acuh dengan pengeluaran zakat maka akan hilang nilai keberkatan itu sendiri," katanya. Beliau berkata keberkatan juga berkait rapat dengan cara dan proses seseorang itu mendapatkan rezekinya tidak kira apa saja pekerjaan yang mereka lakukan.


"Tanda keberkatan adalah semakin banyak mereka menerima sesuatu, semakin taat mereka kepada Allah dan semakin baik hubungan dengan orang di sekeliling. "Bagi mereka yang bekerja di pejabat, mereka perlu mematuhi peraturan iaitu cukup masa bekerja, tuntutan kerja lebih masa dibuat dengan betul serta tidak mencuri tulang," katanya.


Selain itu, beliau berkata pelaksanaan kerja juga perlu sentiasa betul agar yang menurut perintah Allah s.w.t. "Dalam perniagaan misalnya, jika pelaksanaannya tidak betul seperti unsur penipuan dan riba' dalam pengurusan, pasti hasilnya tidak sah". Kerja yang berkat dan sempurna sentiasa melaksanakan perintah Allah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan katakanlah (Wahai Muhammad): "Bekerjalah kamu. Nanti Allah akan melihat pekerjaanmu serta Rasul-Nya dan orang-orang Mukmin. Nanti kamu akan di kembalikan kepada Yang Mengetahui yang ghaib dan yang hadir, lalu dikhabarkan-Nya kepadamu apa yang telah kamu kerjakan". (At-Taubah ayat 105).


Katanya, Allah mengurniakan kepada manusia pelbagai bentuk rezeki seperti wang, pangkat mahupun kuasa. "Manusia perlu menitikberatkan usaha mencari rezeki halal supaya hidup bertambah berkat di dunia dan akhirat. Apabila sumber itu halal, maka lahirlah perbuatan mulia. Manakala jika makanan itu berpunca dari sumber haram, akan
lahirlah perbuatan tercela," katanya.


Oleh Mohd Fadly Samsudin